Photobucket Photobucket

Friday, November 5, 2010

Hantaran - ikut kemampuan atau ikut status?


Siti tertarik pada ruangan fokus dalam majalah NUR keluaran Nov 2010 baru-baru ini. Fokusnya kepada tajuk: MAKIN TINGGI STATUS, MAKIN TINGGI WANG HANTARAN.

Hakikatnya, itulah yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Meletakkan nilai hantaran yang tinggi yang bersesuaian dengan status atau taraf pendidikan anak-anak gadis mereka. Sebagai contoh, kalau anak gadis mereka berkelulusan setakat SPM sahaja, mungkin hantaran yang akan ditetapkan adalah sekitara RM5000 - RM7000. Tetapi, kalau anak gadis mereka berkelulusan Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana, besar kemungkinan nilai hantaran yang ditetapkan adalah sekitar RM10,000 - RM15,000. Wajarkah?

Daripada apa yang Siti baca dan faham, wang dan dulang hantaran adalah tidak wajib. Ia sebenarnya diberi kepada pihak perempuan bertujuan untuk membantu perbelanjaan keperluan perkahwinan dan majlis kenduri. Namun, yang wajib dalam Islam adalah mas kahwin yang diberikan oleh suami kepada isteri kerana berlakunya akad nikah.

Jadi, kenapa nilai hantaran menjadi kayu pengukur kepada darjat atau status seseorang gadis? Jika tinggi hantaran yang diterima, masyarakat akan menganggap gadis itu sangat bertuah dan pandai mencari bakal suami. Tapi jika sebaliknya, gadis itu mungkin dianggap 'tidak laku'. 

Tidak dinafikan yang setiap ibu bapa mahu anak-anak mereka bahagia dan hidup senang bersama pasangan. Tapi jika pihak lelaki terpaksa berhutang semata-mata ingin memenuhi nilai hantaran tinggi yang telah ditetapkan, tidakkah itu akan menyusahkan kehidupan anak dan menantu mereka kelak? Dengan kos hidup yang semakin meningkat, ditambah lagi dengan beban hutang... Kasihan.... 

Sebenarnya, Siti juga berdepan dengan masalah ini apabila mak dan kakak meletakkan hantaran yang sangat tinggi kepada pihak lelaki yang datang merisik Siti. Natijahnya, Siti dan tunang Siti sekarang terpaksa melanjutkan tempoh pertunangan kepada 2 tahun... Sebab bimbang, kalau terlalu singkat tempoh pertunangan, wang hantaran tak dapat disediakan seperti yang diingini.

Mungkin, inilah dugaan awal bagi kami sebelum menempuh alam berumah tangga. Walau apapun, Siti percaya dan yakin yang Allah takkan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya. Semoga Allah akan sentiasa mempermudahkan perjalanan kami.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...